Warung Pak Utih

Just another WordPress.com weblog

Sindrom Mudah Lupa (Bhg II)

Sindrom Mudah Lupa (Bhg II)
Lee Ban Chen | Jan 25, 08 6:53pm
Pada Zaman Perang (403 BM – 521 BM) di Negeri China, terdapat seorang ahli falsafah idealis yang tersohor bernama Zhuangzi (369 BM – 286 BM). Suatu hari beliau bermimpi menjadi seekor kupu-kupu yang lega dengan kebebasannya.

Bila terkejut dari mimpi, Zhuangzi pun berfalsafah: “Entah Zhuangzi yang menjelma menjadi kupu-kupu, atau sebaliknya kupu-kupu yang menjelma menjadi Zhuangzi ?” Demikianlah cerita Zhuangzi dan kupu-kupu, yang mengisahkan bagaimana Zhuangzi telah ‘terkeliru’ antara ‘mimpi’ dengan ‘kenyataan’!

Berbanding dengan Zhuangzi, VK Lingam negara kita lagi ‘hebat’, entah ‘hilang akal atau mabuk’ (perkataan Tengku Adnan), dalam prosiding siasatan suruhanjaya diraja, beliau tidak mampu memastikan sama ada orang yang berbual melalui telefon dalam klip video terbabit adalah beliau atau bukan.

Jawapan Lingam cukup anih sekali: “Nampak macam saya, suara macam saya”, tetapi tidak dapat memastikan orang itu adalah dia. Beliau malah berkeras akan memberi jawapan yang sama walaupun ditanya 100 kali lagi!

Dia enggan memberi jawapan yang pasti, kononnya telah dinasihati pakar-pakar di luar negeri, bahawa satu-satu cara untuk mengesahkan identiti orang dalam video itu ialah melalui peralatan, meskipun saksi-saksi termasuk Loh Mui Fah, Loh Gwo Burne, Tengku Adnan, penganalisa kanan CyberSecurity Malaysia Mohad Zabri Adil Talib dan Tun Eusoff Chin telah mengesahkan secara positif bahawa dia adalah orang dalam klip video terbabit �

Lingam telah mendakwa beliau adalah raja dalam istana/rumahnya, dia boleh cakap merapu dalam keadaan mabuk atau berpura-pura bercakap dengan Presiden Bush jika dia suka. Pendek kata, dia mungkin mengarut dan mungkin cakap besar, dia sudah tak ingat lagi.

Berbanding dengan Dr Chua Sui Lek yang berani mengaku “sayalah orangnya” dalam klip video seks yang dirakam dan disebarkan secara sulit, Lingam padahal seorang yang tidak bertanggungjawab kerana berani bikin tetapi tidak berani mengaku, dia juga amat licik dan cuba menafikan sesuatu yang tidak dapat dinafikan di depan begitu banyak saksi yang telah mengesahkan identitinya.

Klip video

Padahal dia juga sedar sukar hendak menafikan dialah orangnya dalam klip video terbabit, dan mungkin mendapat inspirasi dari ‘kutukan’ Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Lingam ‘hilang akal atau mabuk’ semasa melibatkan beliau dalam perbualan yang berbunyi: “Don’t worry, Dzaiddin recommended Malek… Malek Ahmad to be chief of justice, but we went cut cut cut cut cut, I, Tengku Adnan, Vincent went saw PM lah”.

Lingam pun memberi keterangan bahawa dia bercakap besar dan mengarut ketika memberitahu rakan sosialnya Loh Mui Fah bahawa dia bercakap dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Namun isi kandungan perbualan Lingam terbabit amat relevan dengan apa yang berlaku pada masa itu, tidak bersifat karut yang tidak tentu hujung pangkalnya, dan Loh Mui Fah juga telah mengesahkan bahawa Lingam tidak mabuk pada malam itu.

Yang hairan ialah Tengku Adnan mengaku tidak pernah cuba menghubungi Lingam untuk mendapatkan penjelasan walaupun peguam itu telah mengaitkannya dengan tindakan membocor maklumat sulit kerajaan.

Beliau malah cuba meremehkan perkara tersebut dengan mengatakan namanya sering dipergunakan oleh pelbagai pihak untuk bermacam-macam tujuan di merata tempat!

Namun siapakah Lingam yang berani ‘mengarut’ sehingga mengaitkan Tengku Adnan, Vincent Tan dan Perdana Menteri dalam skandal yang begitu serius sekali? Kenapa pula dia tidak diapa-apakan selepas klip video terbabit didedahkan? Tentu ada sesuatu yang tak kena, bukan?

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan hubungan Lingam, Tengku Adnan dan Vincent Tan memang rapat pada masa itu, malah diakui Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam prosiding siasatan bahawa maklumat sulit berhubung pelantikan hakim nampaknya telah diketahui Lingam seperti yang dirakam dalam klip video terbabit.

‘Kebetulan atau tidak’

Dari transkrip perbualan telefon yang diserahkan kepada suruhanjaya diasatan diraja – selain daripada mengesahkan kepada Loh Mui Fah bahawa pemanggil telefon itu ialah Datuk Ahmad Fairuz, pemangku Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu – Lingam juga mengatakan dia akan menyuruh Vincent Tan memberitahu PM supaya melantik Datuk Ahmad Fairuz sebagai CJM (Hakim Besar Malaya) dan menganugerahkan gelaran Tan Sri kepadanya,. Entah kebetulan entah tidak, Ahmad Fairuz memang sudah mendapat kedua-duanya.

Dalam klip video terbabit, Lingam telah memberi tahu Loh Mui Fah bahawa dia telah mempergunakan Tengku Adnan dan Vincent untuk mengatur orang yang perlu memegang jawatan penting. Dia juga mendakwa dia mempunyai pengaruh terhadap PM yang akan mendengar kata-katanya dalam perkara yang penting.

Lingam mungkin bercakap besar tentang ‘pengaruhnya’ dan kemampuannya untuk ‘mempergunakan’ Tengku Adnan dan Vincent Tan, namun kemungkinan beliau memainkan peranan seorang ‘power broker’ juga tidak dapat ditolak sama sekali memandangkan hubungannya yang rapat dengan Vincent Tan, Tengku Adnan dan Eusoff Chin, dan akses kepada maklumat sulit seperti yang terdedah dalam transkrip perbualan telefon beliau dalam klip video terbabit.

Dalam prosiding siasatan, Lingam, Eusoff Chin, Tengku Adnan dan Dr Mahathir, kesemuanya tiba-tiba menghidap sindrom ‘mudah lupa’. Lingam ‘lupa’ akan identitinya, dengan siapa dan apa yang beliau bercakap; Lingam dan Eusoff Chin kedua-duanya ‘lupa’ akan percutian bersama di New Zealand pada Desember 1994; Tengku Adnan ‘lupa’ akan hubungannya dengan Lingam dan peranannya dalam pelantikan hakim-hakim negara; Dr Mahathir ‘lupa’ akan apa yang sebenarnya berlaku dalam proses pelantikan hakim-hakim negara selain menegaskan bahawa beliau sendiri yang membuat keputusan pelantikan hakim-hakim yang terbabit tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

Sebab Dr Mahathir sering membidas orang Melayu sebagai mudah lupa, kali ini penyakit itu dikembalikan kepada beliau: Dr Mahathir mudah lupa! Menurut silogisme, jika orang Melayu mudah lupa, maka Dr Mahathir sebagai seorang Melayu, sudah barang tentu mudah lupa juga. Berikut adalah silogismenya:

“Orang Melayu mudah lupa,
Dr Mahathir adalah orang Melayu,
Oleh itu, Dr Mahathir adalah mudah lupa!”

dipetik dari laman:

http://www.malaysiakini.com/columns/77458 

March 7, 2008 - Posted by Pak Utih | Uncategorized | | No Comments Yet

No comments yet.

Leave a comment