Siasatan kes video Lingam: Usah menaruh harapan tinggi
| Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi (Bhg 1) |
| Lee Ban Chen | Jan 17, 08 3:31pm |
| Suruhanjaya siasatan diraja klip video Lingam yang diketuai oleh Haidar Mohamed Noor (bekas Hakim Besar Malaya), dan dianggotai oleh Steve Shim Lip Keong (bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak), Zaitun Zawiyah Puteh (bekas Peguamcara Negara), Mahadev Shankar (bekas Hakim Mahkamah Rayuan ) dan Dr Khoo Kay Kim (pakar sejarah dan pesuruhjaya Suhakam) memulai prosidingnya pada 14 Januari 2008 sebagai peristiwa penting berkaitan dengan prospek kedaulatan dalam badan kehakiman di negara kita.
Namun kesal sekali, permulaan prosidingnya telah dicemari dengan kesangsian suruhanjaya itu mungkin tidak dapat menyempurnakan tugasnya secara bebas dan adil kerana tiga orang anggotanya, iaitu Haidar, Shim dan Zaitun enggan menarik diri sungguhpun mereka dimohon berbuat demikian oleh peguam M Puravelan yang mewakili Anwar Ibrahim, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin kerana keanggotaan mereka dalam suruhanjaya terbabit telah menimbulkan persepsi percanggahan kepentingan. Kerana menurut Puravelan, Haidar adalah anggota lembaga amanah Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF) yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beliau rapat dengan Tun dan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, seorang lagi anggota lembaga PLF yang namanya juga disebut dalam klip video terbabit, dan Tun dan Tan kedua-duanya adalah saksi dalam prosiding nanti. Dibangkitkan Puravelan bahawa Haidar dan Shim adalah hakim dalam kes saman fitnah Raphael Pura di mana dakwaan rasuah dalam badan kehakiman telah diputuskan sebagai tidak relevan, dan Haidar dan Shim juga pernah menganggotai panel hakim yang mendengar kes kontroversi yang membabitkan Lingam. Zaitun pula terbabit dalam pendakwaan kes salahguna kuasa terhadap Anwar Ibrahim yang namanya (Anwar) juga turut disebut dalam klip video terbabit. Justeru, ia membawa implikasi ada kemungkinan Zaitun telah bersikap berat sebelah ketika menjalankan tugasnya sebagai peguamcara negara. Permulaan prosiding yang kurang berwibawa ini, didahului (pada 12 Januari) pula dengan insiden pengakuan secara terbuka seorang ahli perniagaan, Loh Mui Fah, 58, bahawa beliau adalah lelaki yang dilihat dalam bahagian kedua klip video Lingam yang didedahkan oleh PKR September lalu. Dan lebih penting lagi, beliau menyatakan klip video sepanjang 14 minit perbualan telefon peguam VK Lingam itu dirakam oleh anak lelakinya, Loh Gwo Burne, 33, tanpa diketahuinya pada 20 Disember 2001 bila Loh dan anaknya diundang ke rumah Lingam untuk makan malam dan mengendalikan urusan perundangan sebagai anak guam Lingam. Nasihat dedah identiti Dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini, Loh kata beliau terpaksa mengambil keputusan untuk mendedahkan identitinya kerana mahu “pihak berkuasa berhenti daripada mengganggu dan menceroboh privasi dirinya dan keluarganya”. Menurut Loh, beliau sering diekori dan diintip oleh orang yang tidak dikenali yang kemudiannya disahkan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) bahawa ejen mereka sedang memerhatikannya dan anak-anaknya. Loh pernah dipintas oleh pegawai BPR di Melaka ketika dalam perjalanan ke Singapura dan beliau diminta mengikut mereka pulang ke Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan. Loh menolak permintaan yang tidak munasabah itu kerana beliau enggan dilayan sebagai penjenayah. Beliau lalu diminta bercakap dengan ‘bos’ pegawai terbabit, yang dipercaya dari ibu pejabat BPR. Loh memberitahu ‘bos’ itu bahawa tempat yang paling baik untuk beliau memberi kenyataan ialah suruhanjaya siasatan diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat klip video tersebut. Loh mendakwa beliau sebenarnya dipaksa pihak BPR untuk mendedahkan identitinya secara terbuka, kerana beliau telah dinasihat supaya mengambil tindakan itu bagi menjaga keselamatannya. ‘Sikap negatif’ Pada 5 November 2007, melalui setiausahanya, Loh telah menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi menawar untuk memberi bantuan sebagai seorang saksi dalam siasatan klip video terbabit jika perdana menteri dapat memberi jaminan terhadap keselamatannya. Namun tawaran yang amat berguna itu tidak mendapat sambutan sewajarnya. Menurut Loh, secara kebetulan beliau telah terlibat dalam klip video yang amat sensitif itu. Mula-mula beliau cuba menjauhkan diri daripada kontroversi terbabit kerana tidak mahu dilihat sebagai seorang yang pro-pembangkang dan didiskriminasi oleh pihak berkuasa terbabit. Namun selepas diganggu, diugut dan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan, beliau menarik kesimpulan hanya melalui tindakan mendedahkan identitinya sebagai saksi dalam klip video terbabit, maka keselamatan peribadinya barulah lebih terjamin. Pengalaman Loh, bersama pengalaman Anwar Ibrahim, R Sivarasa dan Sim Tze Tzin, telah membuktikan sikap negatif pihak berkuasa dalam menangani siasatan klip video terbabit – seolah-olah ingin menutup skandal terbabit melalui gangguan dan ugutan terhadap saksi-saksi potensi dan keengganan dalam penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja dengan anggota-anggota yang berintegriti dan wibawa. Dalam keadaan demikian, adalah lebih realistik tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap prosiding dan keputusan suruhanjaya siasatan diraja nanti! dipetik dari laman: |
No comments yet.
Leave a Reply
-
Recent
- Wakil BN mahu lompat parti
- Pimpinan Abdullah Punca BN Kalah Teruk
- 13
- Siasatan kes video Lingam: Usah menaruh harapan tinggi
- Sindrom Mudah Lupa (Bhg II)
- Pulau Pinang menjadi perhatian dunia
- Perniagaan Sijil Ilmu
- PRU 11 – DUN Kelantan, satu imbasan semula
- PRU 11 – Parlimen Kelantan, satu imbasan semula
- Senarai calon BN di Kelantan
- Muhasabah Sepanjang Lima Tahun Sudah
- Senario Politik di P Pinang
-
Links
-
Archives
- March 2008 (6)
- February 2008 (8)
-
Categories
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS